Cantik
itu penting tetapi tidak usah terlalu dipentingkan. Ada orang hingga
tidak sanggup keluar dari rumah kerana merasakan dirinya tidak cantik.
Bagi wanita kecantikan adalah syarat hidup sempurna, sebenarnya bagi
lelaki wanita cantik bukan syarat kebahagiaan.
Lelaki yang mudah terpegun dengan kecantikan selalunya tidak setia.
Apabila pasangannya mula kelihatan hodoh, dia mudah terkalih perasaan.
Tika itu dia mungkin merasakan cintanya telah tawar dan hanya manis
kembali tatkala melihat wanita-wanita cantik di sekelilingnya.
Tidak
usah perangkap lelaki dengan kecantikan anda yang palsu. Ramai wanita
menghiasi wajahnya terlalu hingga memangsakan ramai lelaki tetapi
kemudian ditinggalkan setelah wajah sebenar terserlah. Sudah tentu anda
tidak mampu bersolek tebal 24 jam. Tapi itulah yang anda lakukan tatkala
di alam percintaan. Tiba-tiba suami anda terkejut melihat anda tidaklah
secantik sewaktu di alam percintaan dahulu. Tanpa mekap wajah anda
biasa saja.
Kajian saya mendapati segelintir lelaki rasa tertipu pada hari kedua
perkahwinannya. Pada hari kedua dia sudah dapat melihat wajah sebenar
isterinya, yang selama ini ditopengi mekap tebal sepuluh inci?.
Kecantikan dan bercantik-cantik itu memang penting, tapi tak usah hingga
menenggelamkan wajah anda yang sebenar. Anda tentu tidak mahu orang
menggagumi anda hari ini dan esok melupakannya. Berhiaslah seadanya
untuk mencerlahkan keserian wajah.
Wajah yang berseri lebih berkesan daripada wajah buatan yang kelihatan
cantik sangat. Wajah yang berseri cukup dengan mekap seadanya.
Kecantikan umpama kereta. Ketika baru dibeli, rekabentuk dan warnanya
memukau. Barunya harum dan seronok dipandu. Semakin lama semakin hilang
serinya. Jika harganya mahal orang masih terliur melihat reka bentuknya
walaupun warnanya telah mula kedam dan berdebu. Lama-lama ia tidak
dipedulikan lagi kerana model-model baru sentiasa keluar dan kecantikan
model-model baru ini sentiasa mengatasi.
Orang yang dahulunya membeli kereta berkenaan kerana cantik kini mula
berfikir untuk menukarkannya. Persoalan cantik tidak akan ada kesudahan.
Yang betul, membeli untuk kegunaan dan kekal sayang meskipun sudah
ketinggalan zaman.
Jika anda tidak cantik, tak usah bersusah hati sebab tidak semua lelaki
mementingkan kecantikan wajah sebagai syarat berteman. Ada lelaki yang
tidak kisah sama ada cantik atau tidak asalkan hatinya berkenan,
bersumberkan keikhlasan, budi pekerti serta pegangan agama yang mantap.
Lelaki yang benar-benar impikan kebahagiaan lebih mementingkan
keperibadian daripada kecantikan, apalagi kecantikan luaran yang sengaja
dibina untuk memukau. Kerana dia tahu kecantikan itu tidak kekal.
Evolusi usia akan mengubahnya. Kecintaan yang dipahatkan oleh tautan
hati yang jujur lagi ikhlas menjamin kehidupan sejahtera hingga ke
penyudah.
Sebaliknya, kecantikan yang terlalu diada-adakan, akan berakhir dengan
pertingkahan apabila kecantikan sudah tidak dapat dipermodalkan. Tiada
manusia boleh kekal cantik dan tiada manusia boleh kekal muda. Tiba
masanya kecantikan akan hilang dan muda bertukar tua.
Jika anda merasakan kurang cantik, ketahuilah itu hanya persepsi anda
sahaja. Ukuran cantik tidak pernah sama antara seorang dengan seorang
yang lain. Lihatlah orang yang kita rasakan langsung tidak cantik,
kadang-kadang jodohnya dengan orang hansem; hingga kita berkata dalam
hati, Buta ke dia??
Hiasi diri anda dengan keperibadian mulia, itu lebih utama untuk seorang
wanita; hiasi juga wajah anda seadanya, sebab itu lumrahnya wanita.
Usah terlalu merawat wajah nanti anda hilang identiti diri. Hargai diri
kerana andalah satu-satunya; tiada duanya dan tiada tiganya. Hanya anda!
No comments:
Post a Comment