perkonsian dari my ilham..pedoman buat diri sendiri..
Seorang isteri yang menenangkan jiwa adalah anugerah.
Seorang isteri yang meresahkan jiwa pula adalah musibah.
Allah menciptakan Hawa sebagai suatu kedamaikan kepada Adam. Dan
Allah nyatakan dalam Al-Quran bahawa penciptaan wanita itu sendiri
adalah bertujuan supaya para lelaki merasa damai dan tenang dengan
kewujudan mereka. Ayatnya anda boleh lihat di kad-kad undangan walimah,
banyak ditulis ayat dari surah Ar-Rum tersebut.
Manusia pula secara fitrahnya diciptakan oleh Allah, memang hendak
kepada kedamaian. Siapa suka hidup dalam resah gelisah dan gundah
gulana. Semuanya mahu gembira dan bahagia. Atas fitrah ini jugalah Allah
ciptakan suatu makhluk yang cukup unik bernama wanita.
Sesungguhnya wanita adalah ciptaan Allah yang cukup istimewa. Segenap
sudut seorang wanita adalah hasil seni yang tak ternilai harganya. Seni
dari Yang Maha Mencipta.
Dia menenangkan.
Dia membahagiakan.
Dia menghilangkan kedukaan dan keresahan.
Semua lelaki mahukan ini, dan bermakna, secara semulajadi fitrah lelaki memang mahukan wanita yang lumrahnya seperti ini.
Tetapi Allah meletakkan sempadan dan garisan yang tidak boleh
dilangkahi, kecuali dengan lafaz akad nikah yang sah. Melangkahi
sempadan ini secara haram bukan bermakna tidak boleh mengecap nikmat
penciptaan seorang wanita, namun bersama-samanya akan wujud penderitaan
yang cukup halus.
Penderitaan yang merosak tenang dan damai di jiwa, sedikit demi sedikit.
Orang berzina, tanpa taubat hidupnya akan merana hingga berakhir umur dunia. Bahkan hingga bertemu di akhirat sana.
Justeru tenang dan damai yang diperolehi dengan sempadan Allah yang
dilanggar, adalah tenang dan damai yang palsu. Ia hipokrasi ciptaan
Syaitan.
Orang berkhalwat di hotel dan berzina manakan sama dengan pasangan suami isteri yang sedang berbulan madu.
Jiwanya resah gelisah, bimbang diserbu atau ditangkap, dan jika tidakpun, hatinya sentiasa waspada dan curiga.
Lelaki jangan rebut tenang dan damai dari sang Hawa dengan cara
begitu. Ia jijik dan merosakkan kedamaikan di hati anda sendiri.
Masuklah melalui pintu yang halal, ia menenangkan dan membahagiakan
hingga ke mati, insyaAllah.
DAMAI
” Masin..”
Sepatah perkataan keluar dari mulut si suami tatkala suapan pertama.
Kari ayam istimewa hasil air tangan isteri tidak seindah di pandangan
mata. Maklum saja, isteri baru dua bulan melepaskan title anak dara.
Riak wajah si isteri pantas berubah.
Dari tadi ditunggu dengan penuh debaran. Sebetulnya, dari sebelum
suami pulang lagi. Berdebar-debar menanti masakan itu masuk ke mulut
suami tercinta. Resepi ‘google’ namun dicuba penuh yakin semata-mata
mahu menyediakan makan tengahari untuk suaminya.
Suami tersedar, khilaf lidah yang gagal disekat. Hatinya mula risau melihat riak wajah isteri berubah.
A : Isteri lantas bangun berlalu ke dapur. Melarikan diri dari
pandangan suami. Komentar suaminya langsung tidak membina, bahkan
dirinya terasa cukup kecil dan kerdil.
B : Isteri mencuba untuk senyum. Memujuk hati dalam diam bahawa
teguran suami adalah teguran paling ikhlas dan jujur. Lagipun, apalah
yang hendak dirajukkan, bukankah masakannya itu memang khusus untuk si
suami.
Anda perlu tahu, kehidupan bercinta dalam rumahtangga, realitinya
tidak seperti fantasia dalam mana-mana cerita. Ia praktikal yang getir,
jika tidak kena caranya. Hendak berlakon atau berpura-pura, mampu
bertahan berapa lama? Yang busuk akan terhidu jua, yang cacat akan
terpampang juga.
Situasi yang saya gambarkan di atas adalah salah satu dari realitinya.
Ramai wanita gagal mendamaikan suami, biarpun dalam hal sekecil
memasak kari. Rajuknya lebih laju dari fokus pada sesuatu isu. Walhal
kadang-kadang, yang ditegur suami adalah kari bukan mahu memperkecilkan
kemampuan isteri. Yang dihajatkan suami adalah komentar membina supaya
lebih berkualiti masakannya, bukannya mahu menghina.
Lalu kadangkala, kepenatan suami yang baru pulang bekerja dibeban
pula dengan rajuk tidak semena-mena. Satu hal pula suami mahu memujuk,
walhal baru satu suapan nasi masuk ke mulut.
AKAR UMBI
Damai itu datangnya dari sikap elok yang dipertontonkan. Ia bunga
dari akhlak yang indah. Akhlak yang indah lahirnya dari hati yang juga
indah. Dan hati yang indah hanya terbentuk dengan IMAN, bukan lakonan.
Berpedomankan fantasi dari novel dan filem cinta untuk menjadi
seorang isteri, anda memang bukan calon isteri yang mendamaikan hati
suami.
Cabaran mendamaikan hati suami biasanya paling hebat di usia pembinaan cinta.
Cinta pun ada fasa pembinaan?
Mestilah. Ada fasa pengenalan, pembinaan dan pengukuhan.
Biasanya, apa yang kita lihat pada kehidupan ibu dan ayah kita adalah
fasa pengukuhan. Lantas ramai juga yang menjadikan orang tua mereka
sebagai idola untuk bercinta.
Anak dara tengok si ibu sambut si ayah pulang kerja, ambilkan beg,
bawakan segelas air dan meluangkan masa menemaninya. Satu persatu
perbualan diatur penuh teliti. Perlahan dan cermat, sehinggalah keadaan
si ayah stabil dan hilang penatnya.
Si anak dara merasa suka dan menyimpan impian untuk mempraktikkannya juga.
Itu baguslah. Setidak-tidaknya, ada azam dan kemahuan. Cuma harus
diingat juga, fasa pengukuhan sama sekali berbeza dengan fasa pembinaan.
Fasa pembinaan biasanya ketika kedua-dua suami dan isteri masih
belajar atau baru mula bekerja. Baru memperoleh cahaya mata dan baru
mahu bertapak membina kehidupan dan kerjaya. Biasanya fokus
masing-masing agak banyak ke tempat lain, menjadikan fokus pada
mengukuhkan cinta kadang-kadang terabai.
Sebenarnya, orang yang baru setahun dua berkahwin, atau baru lima
tahun berkahwin, ibaratnya masih tidak tahu apa-apa tentang alam
rumahtangga. Apatah lagi jika mereka tidak memberikan perhatian
sewajarnya pada pembinaan cinta antara mereka, dan juga cahaya mata.
Sibuk berkursus dan berseminar serata dunia, namun program berbentuk
kekeluargaan boleh dikatakan tidak pernah dihadirinya. Alasan ‘sudah
lama’ berumahtangga kerapkali menjadi virus yang menghakis bahagia dalam
diam.
Justeru perlu diingat, fasa pembinaan memerlukan fokus yang tinggi oleh suami kepada isteri dan juga isteri kepada suami.
Ada orang, semangatnya cuma di fasa pengenalan kerana terleka melihat
kejayaan orang di fasa pengukuhan, lalu mereka kecundang di fasa
pembinaan.
IMPIAN
Setiap wanita menyimpan impian untuk menjadi insan yang paling mendamaikan, khusus buat suami tercinta.
Namun impian hanya akan tinggal impian jika tidak bersungguh-sungguh mahu menjayakan.
Muhasabah diri perlu sentiasa dilakukan. Jangan terbawa-bawa dengan
suasana dan persekitaran, sehingga semangat untuk menjadi penyejuk mata
suami seperti di awal perkahwinan akhirnya hanya tinggal anganan. Suami
yang tidak memberi perhatian dan sibuk dengan urusan kehidupan adalah
antara faktor terbesar gagalnya isteri menjadi seorang wanita idaman.
Mereka mudah terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sikap suami, lantas
menyangka bahawa soal menyejukkan mata dan mendamaikan jiwa hanyalah
soal untuk pengantin baru sahaja.
Sebab itu harus sentiasa disemat dalam jiwa tentang niat yang benar tatkala membina impian.
Biar buat sesuatu dengan niat yang betul kerana Allah, bukan terhenti setakat suami sahaja.
Ada wanita berpakaian indah saban hari dengan niat kerana Allah, mahu
mendamaikan hati dan pandangan suami. Namun suami kelu untuk memuji.
Kelihatan seperti tidak diendahkan, lalu sedikit demi sedikit keindahan
itu ditinggalkan, dan kononnya mahu menjadi ‘biasa-biasa saja’.
Itu tandanya niat sudah rosak. Bukan buat kerana Allah, tetapi
semata-mata hendakkan pujian. Kalau mahu indah untuk suami, mesti jujur
dengan Allah. Itu kuncinya. Dan insyaAllah, damai dan tenang akan Allah
anugerahkan untuk suami pada lubuk hatinya yang dalam.
Fitrahnya, Hawa itu mendamaikan.
Tidak sulit untuk menjadi Hawa yang mendamaikan.
Namun, tidak susah untuk menjadi Hawa yang meresahkan.
No comments:
Post a Comment